Kerajaan PN suntik dana RM 1 billion kepada Airasia

Kerajaan PN suntik dana RM 1 billion kepada Airasia

AirAsia Group Bhd mendapat suntikan dana melalui pinjaman sebanyak RM1 bilion (AS$242 juta) daripada kerajaan bagi membantu syarikat penerbangan itu pulih dari kejatuhan disebabkan pandemik COVID-19.

Memetik laporan Nikkei Asia, berdasarkan sumber kementerian dan syarikat penerbangan, kerajaan dikatakan sudah pun meluluskan pinjaman itu.

Pinjaman itu, kata sumber, akan diberikan oleh beberapa bank tempatan di bawah skim kerajaan untuk membantu syarikat itu menangani wabak dan akan dijamin 80 peratus oleh Kementerian Kewangan (MoF).

“RM1 bilion itu dianggap sangat penting bagi AirAsia, untuk digunakan bagi pembayaran pinjaman jangka pendek dan dana modal kerja.

“Pembayaran dijangka akan dibuat pada bulan hadapan,” kata sumber yang rapat dengan MoF.

AirAsia sebelum ini dilaporkan akan melaksanakan pembuangan pekerja bulan depan jika keadaan kewangannya masih mencatatkan penurunan, selepas mengurangkan lebih 10 peratus tenaga kerjanya serta merancang untuk mengurangkan bilangan pesawat.

Dalam temubual dengan Nikkei pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan bahawa syarikat penerbangan itu perlu mengumpulkan RM2 bilion dalam tempoh enam bulan akan datang untuk berada dalam kedudukan yang selesa.

Sumber berkata, kerajaan pada awalnya menawarkan pinjaman sebanyak RM500 juta tetapi akhirnya menaikkan pinjaman itu seiring dengan permintaan AirAsia.

Tony tidak menjawab pertanyaan daripada Nikkei Asia.

AirAsia pula tidak mempunyai sebarang pengumuman ketika ini.

Pinjaman kepada AirAsia dilaporkan akan dikeluarkan oleh institusi kewangan tempatan di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin RM50 bilion, yang dikendalikan oleh Danajamin Nasional, penjamin kewangan milik kerajaan.

Skim itu diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memberikan bantuan kewangan kepada syarikat yang menerima impak pandemik COVID-19.

Jaminan kerajaan adalah untuk lima tahun pertama tempoh pembiayaan.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2020, AirAsia merekodkan kerugian bersih sebanyak RM1.8 bilion manakala pendapatan turun lebih separuh hingga RM2.43 bilion daripada RM5.65 bilion tempoh sama tahun lalu.

MoF sebelum ini dalam beberapa laporan menyatakan tidak akan memberi bantuan kepada syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd.

Syarikat penerbangan itu, yang berhadapan dengan penurunan operasi serta kewangan sejak bencana udara berkembar pada 2014, menerima suntikan AS$1.5 bilion pada tahun itu untuk rancangan pemulihan lima tahun, tetapi setakat ini ditolak sebarang bantuan kewangan langsung dari kerajaan.

Laporan media menyebut bahawa Menteri Kewangan menegaskan kerajaan tidak akan campur tangan dalam pengendalian syarikat itu, sebaliknya Khazanah Nasional Bhd sebagai pemilik Malaysia Airlines harus memutuskan sendiri tindakan yang perlu.

Sumber: Berita Harian