Kerap diherdik hanya kerana makan guna tangan kiri, akhirnya pendedahan pemuda ini buat semua insaf

Kerap diherdik hanya kerana makan guna tangan kiri, akhirnya pendedahan pemuda ini buat semua insaf

Saya makan nasik tangan kiri sebab jari-jari tangan kanan saya dilahirkan melekat.

Masa sekolah rendah di SK Kampong Raja satu hari tu ada doktor datang buat medical checkup apa entah kat sekolah, doktor periksa tangan saya dan mintak saya ke HUSM untuk operate jari-jari saya.

Saya setuju untuk operate bukak satu dari jari-jari yang melakat tu iaitu jari telunjuk untuk saya solat dengan sempurna.

Sakitnya masa tu Allah saja yg tahu … Doktor letak dawai atau besi dalam jari saya, cucuk kedalam jari, lama jugak baru dia cabut.

Sebab saya makan nasik tangan kiri maka masa kecik dulu saya selalu kena jerkah atau kena marah oleh orang-orang dewasa yg tak tahu jari-jari saya cacat terutama bila saya makan kat tempat kenduri atau tempat majlis keramaian.

Kerana itu, saya jadi phobia dan tak suka majlis makan-makan. Saya selalu mengelak majlis dinner atau majlis sosial sejak kecil.

Mak akan sedih sangat bila orang marah atau menengking saya makan nasik tangan kiri tanpa tanya dulu sebab musababnya.

Bila saya kena marah sebab makan nasik tangan kiri mak akan cepat-cepat peluk saya, kadang-kadang mak akan ambil pinggan nasik saya dan suapkan saya nasik dan mintak saya berhenti makan.

Kami orang miskin akan terasa hina sangat bila kena marah kuat-kuat di dempat orang ramai macam tu …

Untuk itu, sejak kecik saya lebih suka memilih untuk berada dirumah di saat abah dan mak serta adik-adik ke rumah kenduri.

Saya lebih suka keseorangan di rumah sebab saya malu untuk ke majlis makan-makan.

Masa tu tak ada TV tak ada hp mahupun gajet. Saya akan duk sorang-sorang dalam bilik pura-pura tidur dan berdoa abah dan mak balik cepat.

Pernah juga masa duk sorang-sorang kat rumah yang jauh dalam kebun getah ni ada orang datang rumah. orang yang saya tak kenal.

Pernah juga ada orang tua yg selalu bawak guni dan popular di kawasan saya ni dulu dengan panggilan “Rosid Undur” datang rumah.

Orang kampung kata dia orang gila. Sekali tu dia ajarkan saya zikir. Pernah juga dia mintak air masak segelas, saya berikan dia air masak yg diminta.

Tapi air tu tumpah sikit masa saya bawa dari dapur ke ruang tamu sebab saya kena melompat atau “berdekcop” untuk bawak air tu.

Mmasa tu saya tak pakai kaki palsu lagi. Tumpah lah air bila saya melompat sambil bawak gelas tu.

Rosid undur selalu datang rumah saya mintak sedekah. Abah suka bila Rosid Undur datang. Abah layan baik bila Rosid Undur datang biarpun ramai orang kata dia orang gila.

Abah tak pernah hina Rosid Undur. Sama juga dengan arwah pok Nik Hasan seorang pakcik yang ada sedikit massalah mental kat kampung saya ni. Abah layan Pok Nik Hasan macam best friend dia.

Pok Nik Hasan selalu kena ejek dengan anak-anak muda kampung. Bila abah meninggal Pok Nik Hasan datang ziarah kubur abah baca tahlil untuk abah, biarpun tunggang terbalik bacaannya Pok Nik Hasan kesat air mata bnyk kali.

Pok Nik Hasan sedih abah dah meninggal. Masa abah masih hidup, Abah cakap mungkin Pok Nik Hasan dan Rosid Undur lebih mulia di sisi Allah berbanding kita semua.

Bila saya membesar saya jumpa ramai guru-guru agama. Saya bertalaqi bersama arwah TGNA dan juga bekas Mufti Wilayah yang juga bekas Menteri Agama Kakanda Dr Zul.

Saya bertayakan tentang saya yg makan dengan tangan kiri dan mereka semuanya sebulat suara memberitahu bahawa ianya tak ada masalahpun, teruskanlah makan dengan tangan kiri. Itu anugerah Allah untuk saya kata mereka.

Sekarang saya tak malu lagi makan dengan tangan kiri. Ini apa yg Allah bagi kepada saya. Ada orang makan dengan kaki sebab kedua tangan mereka tak ada atau cacat.

Bila saya terima anugerah Allah ini dengan hati yang ikhlas dan syukur pada Allah, saya dapati Allah datangkan kepada saya lebih ramai orang baik-baik dan ikhlas untuk mendampingi saya dan menerima saya seadanya.

Dulu masa saya malu dengan kecacatan saya, saya dapati ada saja orang yang Allah datangkan untuk marah-marah, mengking dan macam-macam.

Masa di MRSM dulu, mula-mula masuk asrama ada jugak yg menegur dan menengking saya makan dengan tangan kiri masa minggu orientasi sebab mereka tak tahu lagi saya cacat. Lepas tu semua dah jadi baik-baik belaka, Alhamdulillahhhh.

Saya dan kemenjadian saya, penciptaan saya dan kita semua adalah dari Allah. Kita kena bersyukur dan terima diri kita seadanya, seikhlasnya.

Terima dan syukur sungguh-sungguh, kerana ada ditempat lain mereka yg lagi teruk lagi besar dugaan dan kejadian yang Allah takdirkan untuk mereka.

Bersama kita berusaha untuk melihat kecantikan itu dari mata hati kerana itulah kecantikan yang sebenar

Ajarlah diri kita dan anak-anak kita untuk sentiasa melihat kecantikan dalam semua ketidaksempurnaan orang lain kerana diri kita sendiri juga tak pernah sempurna.

Sekarang Mak dah tak nangis lagi. Sayapun tak nak mak nangis lagi kerana kecacatan saya. Jumpa di MC Dinner di SACC nanti. Saya mohon izin makan tangan kiri ya.

Raja Shamri RH
Hamba
10 Feb 2022

Sumber – Facebook Raja Shamri