Kes jangkitan Covid-19 di sekolah kembali tinggi, Radzi Jidin tetap enggan tutup sekolah

Kes jangkitan Covid-19 di sekolah kembali tinggi, Radzi Jidin tetap enggan tutup sekolah

Ibu bapa pelajar di sekurang-kurangnya dua sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur yang ada kes Covid-19 memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Keputusan itu sementara mereka menunggu maklum balas terhadap gesaan agar sekolah ditutup buat sementara.

Bercakap dengan Malaysiakini, Shashi Kumar, bapa kepada dua pelajar di SMK Kota Kemuning Shah Alam memberitahu, tindakan itu diambil ibu bapa susulan satu pekeliling bertarikh 14 April daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memaklumkan seorang guru dan dua pelajar disahkan positif Covid-19.

Berdasarkan pekeliling itu yang dilihat Malaysiakini, sejumlah 158 pelajar dan empat guru telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari, dari 9 April hingga hari ini (18 April).

“Oleh kerana tiada nasihat dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk penutupan sekolah, maka sekolah akan dibuka seperti biasa. Namun ibu bapa harus peka tentang keadaan kesihatan anak masing-masing.

“Elakkan dari bersekolah dan bergaul rapat dengan rakan-rakan jika terdapat sebarang gejala seperti demam, batuk dan sebagainya,” kata pekeliling yang ditandatangani Yang Dipertua PIBG SMK Kota Kemuning, Kamarudzaman Sanusi.

Shashi berkata PIBG kemudian mengeluarkan pekeliling yang dikemas kini pada 16 April, memaklumkan bahawa dua lagi pelajar disahkan positif, sementara 182 pelajar daripada enam kelas dan 41 guru telah dikuarantin.

Dia yang juga naib setiausaha agung Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) turut berkata, anak lelakinya antara pelajar yang dikehendaki menjalani kuarantin di rumah, manakala anak perempuannya hadir ke sekolah seperti biasa.

 

“Kami sebagai ibu bapa tidak gembira apabila mendapat tahu PKD dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak memandang serius perkara ini, memandangkan bilangan mangsa Covid-19 semakin meningkat.

“Ini merupakan krisis kebangsaan dan anak-anak sekolah yang masih muda terdedah kepada Covid-19.

“Majoriti ibu bapa meminta agar sekolah ditutup sementara supaya kelas dalam talian boleh diadakan, itu lebih selamat untuk semua pihak,” katanya sambil menambah yang ibu bapa yang terkesan akan membangkitkan perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Di SJKC Khai Chee di Jalan Segambut, Kuala Lumpur pula, seorang bapa pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Cong Jen berkata gesaan yang sama – untuk kembali kepada pembelajaran dalam talian – disuarakan di sekolah itu memandangkan ada kes positif Civid-19 dikesan.

“Sudah tentu, Kementerian Kesihatan Malaysia boleh kata kuarantin hanya memberi kesan kepada pelajar dan guru, tetapi tindak balas rantaiannya adalah lebih daripada itu.

“Sejak itu, saya memilih untuk tidak hantar kedua-dua anak saya ke sekolah – seorang bersekolah rendah dan seorang lagi tadika,” kata Cong Jen.

Untuk itu, katanya lagi, dia perlu menulis surat kepada sekolah bagi mengisytiharkan dia bertanggungjawab penuh ke atas proses pembelajaran anak-anaknya.

Beri maklumat secukupnya

Berdasarkan notis kepada ibu bapa oleh guru besar SJKC Khai Chee, Tea Kim Wah, terdapat empat kes positif Covid-19 dikesan dalam kalangan pelajar sejak 14 April. Notis itu ada dikongsikan di laman Facebook rasmi sekolah itu.

Setiap pelajar yang positif adalah daripada kelas berbeza. Pelajar lain di dalam empat kelas itu, serta guru mereka, telah ditempatkan dalam kuarantin.

Sekolah lain yang dilaporkan mempunyai kes Covid-19 baru-baru ini termasuk SJK(C) Pin Hwa 1, Shah Alam, di mana pelajar dan guru daripada 14 kelas dikuarantin sejak 16 April lalu.

Semalam, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata banyak sekolah mengambil inisiaitif sendiri dengan melaporkan kes Covid-19 tetapi katanya, tanggungjawab menyediakan kemas kini harian terletak pada KPM.

“KPM mesti menyediakan kemas kini harian berhubung situasi Covid-19 di sekolah. Ini melibatkan ketelusan. Tak ada jalan lain.

“Ibu bapa dan guru mempunyai hak terhadap maklumat ini supaya mereka dapat membuat keputusan dengan maklumat yang cukup,” kata bekas timbalan menteri pendidikan itu.

Pada Jumaat, Sin Chew Daily memetik kenyataan Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia (KKGGBM) Lim Bee Khim bahawa sekurang-kurangnya 146 sekolah rendah dan 40 sekolah menengah ada kes Covid-19 positif sejak 1 Mac lalu, selepas sekolah kembali dibuka. – MK