Khaled Nordin dakwa Pas parti gila talak

Khaled Nordin dakwa Pas parti gila talak

UMNO tidak akan membuang masa melayan parti yang kegilaan talak, sebaliknya terus mara ke hadapan untuk menarik sokongan masyarakat pelbagai kaum dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, misi UMNO hari ini ialah terus mara dan meninggalkan segala episod yang berlaku sebelum ini.

Ini kerana, katanya, yang akan menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Johor ialah sokongan masyarakat majmuk dan keutamaan mesti diberikan kepada mereka.

“Kalau Pas terus melemparkan segala ugutan, tohmahan dan sanggahan terhadap UMNO, teruskan. Bagi UMNO, tiada faedahnya untuk terus melayan karenah mereka. Pendirian kita telah terang lagi bersuluh.

“Hanya Pas yang tidak tahu apa yang ia kehendaki. Susah kalau orang kegilaan talak ini kerana dalam fikiran mereka dibuang sayang, ditelan pahit.

“Misi UMNO dan BN seterusnya ialah untuk terus mara ke hadapan dan meninggalkan episod ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya, hari ini dan dilaporkan semula oleh MalaysiaGazette.

Menurut Mohamed Khaled, rakan UMNO dalam BN mesti memahami bahawa kemenangan mereka tidak lagi boleh disandarkan kepada UMNO semata-mata.

Malah, katanya, mereka mesti tampil meyakinkan pengundi bukan Melayu bahawa BN mesti dikembalikan semula sebagai kerajaan yang kuat dan stabil.

Kata beliau, meningkatkan sokongan bukan Melayu mesti menjadi strategi paling penting dengan mengembalikan formula politik berkongsi kuasa dalam semangat perkongsian yang tulen.

“Bukan hanya melantik seorang dua wakil bukan Melayu dalam kerajaan sebagai gambaran sebuah kerajaan yang inklusif. Keterangkuman mesti bersandarkan hasrat yang tulen dan murni, bukan pementasan wayang yang olok-olok.

“Masyarakat bukan Melayu adalah bahagian penting dalam kehidupan sosial, ekonomi dan politik Malaysia. Sampai bila mereka harus mempunyai perwakilan sipi-sipi dalam kerajaan dan pentadbiran.

“Oleh itu, tiba masanya mereka menjadi sebahagian dari kerajaan dan menguruskan negeri serta negara ini secara bersama dengan UMNO, parti terbesar orang Melayu,” katanya.