Lagenda badminton negara China miliki ladang Musang King di Kelantan

Lagenda badminton negara China miliki ladang Musang King di Kelantan

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih badminton China, Li Yongbo sebelum ini dikaitkan dengan peranan baharu di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas hadir ke ibu negara, Rabu lalu.

Namun, kehadirannya ke sini sebenarnya tiada kaitan mengenai sukan berkenaan, sebaliknya  mencuba perkara baharu iaitu menceburi perniagaan durian Musang King yang diperkenalkan oleh rakannya.

Berdasarkan laporan sebuah akhbar di Beijing yang disiarkan Nanyang Siang Pau hari ini, rakan Yongbo memperkenalkan mengenai bidang perniagaan durian Musang King dan melakukan pelaburan di sebuah ladang yang terletak di Kelantan.

Beliau yang kini berusia 56 tahun bukan saja menjadi pelabur dan rakan kongsi malah dilantik sebagai perunding untuk menghubungkan perniagaan antara Malaysia-China.

“Saya tidak pernah terfikir untuk membina ladang di tengah hutan, namun apa yang dapat saya lihat ia sangat teratur dan sistematik.

“Ia juga dilengkapkan dengan pemantauan kamera litar tertutup, di mana ia ternyata mengejutkan saya,” kata Yongbo yang sangat kagum mengenai industri durian di Malaysia.

Menurut Yongbo, beliau sudah melihat pelbagai potensi mengenai perniagaan durian dan prospek pasaran ‘Raja Buah’ itu sangat positif di seluruh dunia terutama membabitkan jenis Musang King.

Dalam masa sama, beliau mengakui sangat gembira kerana mempunyai jenama durian sendiri dan berjanji akan mengembangkan lagi perniagaan berkenaan.

Sumber : Berita Harian