Lakukan aksi ‘wheelie’ di lebuh raya, geng motosikal berkuasa besar diburu polis

Lakukan aksi ‘wheelie’ di lebuh raya, geng motosikal berkuasa besar diburu polis

Satu hantaran Facebook Polis Diraja Malaysia mencuri perhatian ramai apabila pihak polis mengumumkan mereka sedang memburu ahli kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi menjadikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebagai litar untuk buat aksi berbahaya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata, terdahulu pihaknya menerima dua rakaman video berhubung kejadian itu pada jam 12.20 tengah hari semalam.

Katanya, video pertama memaparkan sekumpulan empat penunggang motosikal dengan model dan nombor pendaftaran tidak dapat dikenal pasti.

 

“Dua daripada mereka melakukan aksi ‘wheelie‘ iaitu mengangkat tayar dan bersaing sesama sendiri.

“Aksi itu dirakam oleh seorang lagi penunggang motosikal,” katanya tadi.

Beliau berkata, ketika ini polis giat mengesan pemilik video asal dan semua penunggang motosikal terbabit.

Menurut Ramli, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Memetik Harian Metro, video kedua memaparkan sebuah motosikal ditunggang dengan kelajuan tinggi serta melakukan aksi ‘wheelie‘.

Ramli berkata, aksi penunggang motosikal itu disaksikan sekumpulan penunggang motosikal lain.

“Kumpulan itu didapati sedang berhenti dan berkumpul di tepi jalan di kawasan Lebuhraya LATAR.

“Hasil penelitian video, polis mengenal pasti salah satu nombor pendaftaran motosikal yang menyertai kumpulan terbabit adalah PNV 1414.

“Polis turut berusaha mengesan perakam video itu dan akan merakam percakapannya. Selain itu, video berkenaan akan dihantar ke Unit Forensik untuk tindakan lanjut serta mengesan kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.