Mangsa gempa bumi terpaksa minum air kencing untuk terus hidup

Mangsa gempa bumi terpaksa minum air kencing untuk terus hidup

 

Seorang remaja lelaki terpaksa minum air kencingnya untuk terus hidup selepas terperangkap selama 94 jam dalam runtuhan bangunan di selatan wilayah Gaziantep selepas gempa bumi kuat di Turkiye Isnin lalu.

Adnan Muhammet Korkut, 17, diselamatkan semalam daripada serpihan sebuah apartmen di daerah Sehitkamil di Gaziantep, lapor media tempatan.

Dalam video media sosial yang tular, Korkut memberitahu penyelamat dia meminum air kencingnya sendiri untuk terus hidup dan menunggu anggota pasukan penyelamat datang menyelamatkannya.

“Saya minum air kencing saya sendiri untuk terus hidup dan saya terselamat. Terima kasih kepada Tuhan saya,” katanya dalam video menjawab soalan.

“Saya tunggu kamu semua datang dan kamu datang, alhamdulillah. Terima kasih kepada kamu semua,” katanya.

Ditanya sama ada mendengar bunyi lain di bawah runtuhan, Korkut berkata dia mempunyai seekor anjing.

Gempa bumi kuat melanda tenggara Turkiye dan negara jiran Syria pada awal pagi Isnin memusnahkan bandar dan membunuh serta mencederakan ribuan orang.

Lebih 21,000 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera ketika usaha diteruskan pada hari keempat dalam keadaan beku untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap di bawah runtuhan.

Usaha menyelamat awal dihalang oleh ribut musim sejuk yang menutup jalan utama dalam ais dan salji, menyebabkan tiga lapangan terbang utama di kawasan itu tidak dapat beroperasi, sekali gus menyukarkan penghantaran bantuan penting.

Beberapa kemusnahan paling teruk berlaku berhampiran pusat gempa antaranya Kahramanmaras dan Gaziantep, di mana seluruh blok bandar runtuh.