MAPIM kecewa kenyataan timbalan menteri agama, desak kerajaan bertanggungjawab tangani isu ‘Timah’

MAPIM kecewa kenyataan timbalan menteri agama, desak kerajaan bertanggungjawab tangani isu ‘Timah’

Kerajaan tidak boleh berdiam diri berhubung isu pengeluaran arak berjenama Timah yang mengaitkan sejarah pembangunan Tanah Melayu kerana ia boleh mengelirukan.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam (Timah yang disingkatkan dari Fatimah).

Katanya, lebih biadap iklan arak itu menggunakan imej seorang yang berkopiah dengan janggut panjang seolah-olah memaparkan orang berimej agama juga mengiklankan dan mempromosi arak.

“Kami amat terkejut dengan pendedahan wujudnya kini arak berjenama Timah yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini adalah sesuatu yang amat janggal dan sangat bertentangan dengan imej Malaysia sebagai negara Islam.

“Kami amat kecewa bila belum lagi isu kekerapan judi kepada 22 kali cabutan setahun masih belum reda, kini muncul pula keluaran arak buatan Malaysia.

“Apakah imej Malaysia akan menjadi popular sebagai negara yang subur industri judi dan arak ?” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Azmi, pihak pengeluar minuman keras itu jelas sama sekali tidak peduli kepada sensitiviti umat Islam di negara ini, malah ia seolah mencabar umat Islam untuk memancing reaksi mereka terhadap produk arak itu.

Kata beliau, pihaknya membantah keras perbuatan biadap itu dan tidak sama sekali merasa bangga terhadap minuman keras buatan Malaysia itu yang telah dilancarkan awal Oktober lalu dan didakwa memenangi anugerah terbaik negara ini.

Beliau mendakwa, pihak Winepak Corporation iaitu firma di belakang Timah yang sangaja mencetuskan produk ini, jelas memprovokasi sentimen masyarakat Islam dan pihak berkuasa.

“Winepakinternational.com yang mempromosi kehebatan arak Timah itu yang menjadi wiski pemenang anugerah buatan Malaysia pertama mempamerkan bahawa inilah produk arak dari Malaysia yang akan menjadi popular dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Lebih parah promoter menggambarkan Timah adalah arak unik di mana komponen-komponen ini diadun oleh Master Blender.

“Malah nama arak Timah itu sendiri dianggap hasil usaha yang berterusan dalam sejarah Tanah Melayu yang membawa kepada kemajuan pembangunan negara pada awal abad ke-20,” katanya.

Justeru Mohd Azmi berkata, pihaknya mendesak kerajaan menjelaskan pendiriannya terhadap isu ini.

Apakah kerajaan bersetuju bahawa negara ini bakal tersohor kerana arak buatan Malaysia dianugerahkan Pingat Perak di Pertandingan Wain dan Semangat Antarabangsa, dan Pingat Emas untuk Wiski Malaysia Terbaik dalam Pertandingan Wiski Antarabangsa, soalnya
Tambah beliau, sebagai kerajaan yang menonjolkan kriteria kerajaan Melayu Islam sudah tentu isu itu tidak boleh dipandang ringan.

“Kami menggesa kerajaan bergerak ke arah dasar sifar pengeluaran arak dan menyemak semula semua peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penjualan arak di negara ini,” katanya.

Sumber – MalaysiaGazette