Menteri ambil ringan amaran kenaikan harga barang kering oleh bos Mydin

Menteri ambil ringan amaran kenaikan harga barang kering oleh bos Mydin

Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi sehinggga kini terus bersikap mendiamkan diri dalam mengulas isu kenaikan harga barangan kering dan pakaian yang dilaporkan bakal mengalami kenaikan tinggi dalam tempoh terdekat.

Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin yanh berkata akan berlaku kenaikan harga bagi makanan kering dan pakaian pada tahun ini. Kenaikan ini katanya didorong oleh faktor luar yang menyumbang kepada kenaikan harga.

Beliau memberitahu Sinar Harian bahawa bagi harga barang makanan kering seperti biskut, sardin dan Milo pada tahun ini, ia dijangkakan naik lapan sehingga 10 peratus. “Kita telah diberitahu oleh ramai pengilang bahawa barang akan naik sebab tertentu (seperti) harga bahan mentah dan kos logistik telah naik,” jelas beliau.

Bagi pakaian pula, Ameer Ali memberitahu bahawa beliau menjangkakan kenaikan dari 10 hingga 15 peratus. Kenaikan ini akan menyaksikan pakaian sekolah dan harian akan menjadi lebih mahal kerana didorong oleh faktor kemasukan barang baharu.

Dalam laporan tersebut juga, kenaikan harga barang ini sebenarnya tiada kaitan dengan kerajaan dan pihaknya tidak boleh melakukan apa-apa. “Kita ini (terlibat dengan) perdagangan antarabangsa. Jangan kita salahkan kerajaan. Tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Apa yang penting adalah kerajaan membantu,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kepada pembeli untuk melakukan pilihan yang bijak ketika membeli. Contohnya memilih jenama yang lebih murah berbanding yang mahal. Selain itu, orang ramai juga disaran untuk kurang membeli-belah, contohnya jika sebelum ini membeli dua helai baju, sekarang hanya perlu membeli sehelai baju.