Mona Allen bertudung selepas dikurniakan anak, “Saya bernazar”

Mona Allen bertudung selepas dikurniakan anak, “Saya bernazar”

 

Selepas beberapa kali mendiamkan diri daripada mengakui sudah bertudung, akhirnya aktres jelita, Mona Allen tampil bersuara dan memberikan penjelasan mengenai hal tersebut.

Mona bernazar nak pakai tudung kalau dapat anak

Mona yang juga isteri kepada pelakon hebat, Pekin Ibrahim mengakui dia kini menunaikan hajat dan tekad untuk bertudung selepas dikurniakan anak pada 31 Ogos tahun lalu.

Katanya, dia bernazar tanpa pengetahuan suami untuk memakai tudung sekiranya diberikan rezeki zuriat selepas mendirikan rumah tangga dengan Pekin pada 7 Disember 2018.

“Saya bernazar nak pakai tudung jika diberikan cahaya mata pertama. Namun, perkara ini langsung tidak diberitahu dan diketahui oleh suami,”ujarnya.

Pekin tak pernah paksa, pesan jangan buat sebarang pengumuman

Dalam pada itu, aktres berusia 37 tahun itu mengatakan suaminya tidak pernah memaksanya untuk bertudung. Malah, Pekin juga menitipkan pesanan untuk tidak membuat sebarang pengumuman dalam media sosial mengenai hal tersebut kerana risau akan menjadi mangsa kecaman.

“Pekin tidak pernah memaksa saya untuk memakai tudung. Dia pun tak tahu saya bernazar. Dia hanya pesan agar saya tak buat sebarang pengumuman dalam media sosial sekiranya ingin bertudung.
“Bukan apa, dia bimbang sekiranya saya dikecam jika tiba-tiba berubah angin,”katanya lagi.

Mona berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaru keluaran syarikat Pekin, Little Joe Mesra Car Air Freshener, di ibu negara.

Terdahulu, penampilan pemilik nama Munna Hafiraneza Allen telah mencuri perhatian ramai apabila dia banyak berkongsi imej bertudung di laman Instagram.

Pun begitu, suaminya, Pekin menitipkan pesan supaya tidak perlu membuat perkongsian di media sosial memberitahu sudah berhijab ataupun belum. Namun, dia tetap berharap Mona akan terus bertudung sampai bila-bila.

Selain itu, Mona juga mengatakan dia belum bersedia untuk mengatakan dirinya sudah bertudung sepenuhnya, sebaliknya mengakui dia masih dalam fasa memperbaiki penampilannya.

Aktres kacukan Melayu-Scotland mengatakan dia juga memperlahankan aktiviti kariernya sebagai anak seni buat sementara waktu kerana mahu memberi tumpuan membesarkan Petra Pekin.