Muhyiddin keluar dari ‘gua’, tiba-tiba serang Anwar

Muhyiddin keluar dari ‘gua’, tiba-tiba serang Anwar

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melepaskan portfolio sebagai Menteri Kewangan dan menumpukan kepada tugas sebagai pemimpin nombor satu negara.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Anwar harus memberi fokus kepada tugasnya sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang berdepan waktu yang amat sukar.

“Lagipun skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Razak, turut menyandang jawatan Menteri Kewangan.

“Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama,” katanya hari ini.

Menurut mantan Perdana Menteri itu, Anwar seharusnya mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya bercuti sehingga kesnya di mahkamah selesai diadili.

“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri, sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah.

“Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya (nanti),” katanya sinis.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh turut meminta Perdana Menteri menasihati Nurul Izzah supaya melepaskan jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri.

“Saya percaya beliau seorang pemimpin (dan) wanita muda yang berbakat serta berpotensi besar.

“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya, sedangkan masa hadapan yang mungkin dilakar lebih cerah,” katanya.

Anwar sebelum ini memberitahu, pelantikan Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri dibuat berdasarkan kelayakan dimiliki.

Anwar berkata, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memiliki kelulusan Sarjana Muda Kejuruteraan, selain turut bergelar graduan sarjana dalam jurusan Dasar Awam dan Sosial dari Universiti Johns Hopkins, Amerika Syarikat.

Kelulusan dimiliki jelas beliau, melayakkan Nurul Izzah dilantik bagi membantunya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kementerian Kewangan.