Nama Razman dan menantu Hadi tiada dalam senarai 122 individu yang terima Anugerah Darjah Kebesaran Perak

Nama Razman dan menantu Hadi tiada dalam senarai 122 individu yang terima Anugerah Darjah Kebesaran Perak

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena ulang tahun keputeraan baginda di Balairong Seri Istana Iskandariah pada Khamis.

Berangkat pada istiadat itu Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan pengerusi jawatankuasa kerajaan negeri.

Pada istiadat berkenaan, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan darjah kebesaran negeri kepada 122 penerima bagi 2020 dan 2021.

Memetik laporan Sinar, antara penerima pada Khamis adalah Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr Norisah Mahat Nor dan bekas Pengarah Ukur dan Pemetaan Negeri, Zahari Zamlope (Zamlope) yang dikurniakan Anugerah Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM).

Selain itu, Anugerah Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) pula dikurniakan kepada Pegawai Daerah Kerian, Mohd Sabli Bakri, Pengarah Pertanian negeri, Norsiyenti Othman dan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Zulqarnain Mohamad.

Penganugerahan pada Khamis melibatkan PCM (6), PMP (14), Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (12), Darjah Ahli Mahkota Perak (26), Pingat Pekerti Terpilih (28), Pingat Jasa Kebaktian (34) dan Pingat Lama Perkhidmatan (dua).