Noraini tegas pertahan jawatan menteri

Noraini tegas pertahan jawatan menteri

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menegaskan,  komitmen dan tanggungjawabnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan akan terus dipertahankan.

Pendirian Menteri pengajian Tinggi itu tampak berbeza dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin yang bersedia melepaskan jawatan sebagai menteri jika UMNO mahukan semua menteri dalam kalangan parti itu diminta berbuat demikian.

Menurut Ahli Parlimoen Parit Sulong itu, komitmen tersebut penting agar jentera kerajaan dapat berjalan dengan baik dalam menjaga kepentingan rakyat, memulihkan ekonomi negara dan memastikan situasi pandemik Covid-19 berada dalam kawalan.

“Kepentingan rakyat dan negara perlu diberi keutamaan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Pergeseran politik UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memuncak selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO semalam bersetuju untuk membawa usul majoriti perwakilan bahagian yang menolak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Bersatu bagi menghadapi PRU-15.

MKT juga sebulat suara memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian UMNO yang telah bersidang selama tiga hari baru-baru ini di seluruh negara antaranya mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).

Terdahulu, sumber daripada ketua-ketua bahagian mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sejumlah 189 daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara menolak sebarang bentuk kerjasama dengan PN dalam PRU-15 bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebanyak 143 daripada 191 bahagian parti (74.8 peratus) enggan bekerjasama.

Keputusan itu hadir selepas UMNO mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Bahagian Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri yang berlangsung secara serentak di seluruh negara selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lalu sekali gus memberi tamparan hebat buat PN.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/2021/01/noraini-pertahan-jawatan-menteri/