Parlimen bubar awal punca pelan bentang RUU 355 tergendala

Parlimen bubar awal punca pelan bentang RUU 355 tergendala

Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali RUU 355 tidak sempat dibentangkan kerana pembubaran Parlimen, kata Idris Ahmad.

Menurut FMT, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) itu berkata, beliau berharap RUU355 dapat dibentangkan di Parlimen oleh kerajaan baharu, selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Katanya, secara prinsipnya, memorandum mengenai RUU itu dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri, pada 26 Ogos lalu.

“Setakat ini, kertas cadangan RUU itu berada di peringkat Pejabat Peguam Negara, namun ia tidak sempat dibentangkan selepas Parlimen dibubarkan.

“Justeru, saya berharap kerajaan baharu yang dipilih nanti dapat meneruskan usaha ini sekali gus memperkukuh bidang kuasa jenayah syariah di negara ini,” kata naib presiden PAS itu menurut Utusan Malaysia.

Pada 1 Okt, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Lee Chin Chen, mempersoalkan tindakan PAS yang dilihat “menjurai” RUU355 tidak membentangkannya di Parlimen walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Lee berkata demikian bagi membalas tuduhan DAP sebagai “rasis”, selain memusuhi Islam yang dilemparkan Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin.

“PAS yang kini sebahagian daripada kerajaan terdiri daripada ‘perkahwinan campur’ antara Barisan Nasional dan Perikatan Nasional sepatutnya menggunakan peluang ini untuk membentangkan RUU 355 yang mereka juarai, bukan asyik menyalahkan DAP atas kegagalan membentangkan RUU tersebut,” kata Lee dalam kenyataan.

Pada 18 Feb 2017, dianggarkan 50,000 hadir di Padang Merbok dalam Himpunan RUU 355 dianjurkan PAS. RUU itu kali pertama dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei 2016 oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang.