Pegawai PGA mabuk ditahan mengamuk
Pihak keselamatan berdepan detika memalukan apabila seorang pegawainya berpangkat Inspektor ditahan susulan mencederakan dua anggota polis serta mengamuk di Lebuh Queen di sini semalam, direman selama tiga hari.
Suspek berusia 35 tahun itu dikatakan melarikan diri dari sebuah hospital di sini, ketika sedang menerima rawatan akibat kaki kanannya patah, seperti dilaporkan portal akhbar MalaysiaGazette.
Difahamkan, kejadian mengamuk serta mencederakan dua anggota yang cuba mengawal situasi itu berlaku sejurus pegawai yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak itu melarikan diri dari hospital.
Selain itu, suspek juga dilaporkan berada dalam keadaan mabuk ketika mengamuk di lokasi terbabit.
Suspek kini ditahan reman di hospital susulan mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan lamanya.
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang pegawai berpangkat inspektor ditahan susulan mengamuk serta cederakan anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Queen di sini, awal pagi tadi.
Difahamkan, suspek yang merupakan pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA) di Perak itu membuat bising dan mengamuk di hadapan sebuah hotel serta kuil di kawasan berkenaan kira-kira jam 1.40 pagi sebelum kehadiran pihak polis. – MalaysiaGazette