Pengumuman terkini Rafizi mengenai KXP buatkan Sanusi lega

Pengumuman terkini Rafizi mengenai KXP buatkan Sanusi lega

Kementerian Ekonomi mahu Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) mempunyai kemampanan kewangan agar tidak menjadi beban yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri dan persekutuan pada masa depan.

Menteri Rafizi Ramli berkata tumpuan beliau ialah memastikan projek yang dirancang kerajaan Kedah itu dapat berfungsi secara swasta dengan baik, tanpa memerlukan tanggungan kerajaan negeri mahupun persekutuan pada masa akan datang.

“Mana-mana projek yang ada kemampanan kewangan dan membawa hasil kepada rakyat pasti tidak akan ada masalah bagi mana-mana kerajaan. Yang kita bimbang jika projek itu nampak ‘okay’ di mata kasar, tetapi bila kita lihat secara terperinci, kita ada kebimbangan dari segi kemampanan kewangan,” katanya menurut Bernama.

Terdahulu, beliau menghadiri Sesi Libat Urus dan Roadshow bagi Penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) 2021 hingga 2025 di Alor Setar, yang turut dihadiri Menteri Besar Sanusi Md Nor.

Sanusi sebelum ini dilapor sebagai berkata Kedah berharap Putrajaya mempertimbangkan projek KXP dan membenarkan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, mengenai pembangunan industri sawah padi di Kedah, Rafizi usaha mengupayakan petani beralih kepada penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun menjadi antara keutamaan kerajaan persekutuan.

“Peruntukan diperlukan bagi memastikan industri sawah padi di Kedah boleh beralih kepada lima musim tanaman (dalam tempoh) dua tahun. Petani tidak boleh buat sendiri, ia perlukan pengairan, infrastruktur, itu perlukan peruntukan (kerajaan),” katanya.