Peruntukan perkhidmatan kesihatan lebih rendah berbanding tahun lepas, dakwa Dr. Dzulkefly

Peruntukan perkhidmatan kesihatan lebih rendah berbanding tahun lepas, dakwa Dr. Dzulkefly

Bekas menteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menyatakan kekesalannya berikutan potongan besar dalam peruntukan belanjawan terhadap hampir semua perkhidmatan kesihatan.

Menurutnya, peruntukan RM31.94 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang diumumkan melalui Belanjawan 2021 semalam, lebih rendah berbanding peruntukan bagi tahun 2020.

Dia turut membuat perbandingan jumlah sebenar peruntukan Belanjawan 2021 dan 2020 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan bagi KKM selepas ditolak dengan emolumen kakitangan kontrak.

“Tolak emolumen RM1.5 bilion kakitangan kontrak, maka jumlah peruntukan sebenar (untuk) KKM ialah RM30.4 bilion (sewaktu pentadbiran PN) Vs RM30.6 bilion (PH)! Kenapa,” ciapnya.

Pemotongan itu merangkumi program perubatan, kesihatan awam, kesihatan pergigian, perkhidmatan farmasi, penyelidikan dan sokongan teknikal serta penyelidikan dan sokongan teknikal.

Pada masa sama, Dzulkefly turut menyertakan penjadualan yang dibuat oleh portal kesihatan Codeblue yang menyenaraikan beberapa potongan yang terlibat dalam belanjawan kali ini. Antaranya:

• Nefrologi: RM252.11 juta (2020) kepada RM56.44 juta (2021)

• Kardiotoraks: RM180.5 juta (2020) kepada RM60.11 juta (2021)

• Farmasi dan Bekalan: RM1.94 bil (2020) kepada RM512 juta (2021)

• Radioterapi dan Onkologi: RM328 juta (2020) kepada RM136.43 juta (2021)

• Perubatan Am: RM1.73 bil (2020) kepada RM1.48 bil (2021)

• Anestesiologi dan Rawatan Rapi: RM499.56 juta (2020) kepada RM449.45 juta (2021)

• Perubatan Pernafasan: RM38.4 juta (2020) kepada RM34.4 juta (2021)

• Psiakiatri dan Kesihatan Mental: RM344 juta (2020) kepada RM313 juta (2021)

Peruntukan bagi psiakiatri dan kesihatan mental telah dipotong dari RM344.82 juta kepada RM313.4 juta pada 2021.

Dalam satu temubual bersama Astro Awani semalam, Dzulkefly menyuarakan kebimbangannya berkenaan peruntukan untuk kementerian itu.

“Saya perlu katakannya kerana kita telah kurang mengeluarkan perbelanjaan (untuk KKM) sejak sedekad lalu, ini adalah masa yang terbaik untuk kita mengeluarkan perbelanjaan lebih. Kita (KKM) kekurangan kakitangan, kekurangan dana, jadi ini adalah masa yang terbaik.

“[..] .. Untuk penyakit tidak berjangkit (NCD), apa-apa untuk penjagaan kesihatan yang utama, semuanya perlu ditingkatkan, peruntukan itu tidak banyak pun, jadi itu menjadi kebimbangan saya,” katanya.

Sementara itu, ahli parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii berkata peruntukan penjagaan kesihatan, yang dilabelnya sebagai “short-sighted”, akan memberi kesan jangka panjang terhadap kualiti perubatan bagi perkara penting yang lain.

“Peruntukan untuk rawatan kanser dikurangkan secara drastik sebanyak 58.49 peratus dari RM328.7 juta (2020) kepada RM136.4 juta.

“Kami melihat pemotongan ketara terhadap nefrologi walaupun laporan-laporan jelas menyatakan tahap bahaya NCD di negara kita dan bagaimana penyakit seperti diabetes akan memburukkan lagi masalah kegagalan buah pinggang.

“Lebih daripada 100,000 rakyat Malaysia dijangka mengalami kegagalan buah pinggang dalam masa dua dekad akan datang, dan dijangkakan 106,000 rakyat Malaysia akan mengalami kegagalan buah pinggang yang memerlukan dialisis pada tahun 2040,” katanya dalam satu kenyataan.

Yii turut menekankan isu pesakit yang tidak hadir untuk temu janji dan rawatan atas perkara yang tidak dapat dielakkan yang berkaitan dengan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan.

“Semua kelewatan ini diharapkan dapat ditangani terutama pada tahun depan dan ia akan memberi kesan apabila memotong semua peruntukan tersebut, di mana ia akan membahayakan kualiti penjagaan kesihatan yang diberikan kepada pesakit-pesakit,” katanya.

Sumber: Malaysiakini