‘Recycle’ set kertas soalan SPM, pakar pendidikan terkejut jawapan Lembaga Peperiksaan

‘Recycle’ set kertas soalan SPM, pakar pendidikan terkejut jawapan Lembaga Peperiksaan

(1) Alhamdulillah, Lembaga Peperiksaan akhirnya mengeluarkan kenyataan rasmi berkaitan isu penggunaan soalan yang sama bagi sesi satu dan sesi dua Kertas Ujian Mendengar. Sebenarnya isu ini tidaklah terlalu rumit sehingga terpaksa mengambil masa begitu lama untuk kenyataan rasmi dikeluarkan oleh LP. Sepatutnya, sebagai institusi yang mempunyai kawalan integriti yang tinggi, kenyataan ini boleh dikeluarkan selewatnya 48 jam selepas peperiksaan sesi dua selesai.

(2) Kenyataan media LP menjelasksn beberapa perkara yang penting untuk diketahui oleh para calon yang terlibat dan juga ibubapa mereka.

(i) Persoalan paling asas yang tidak dijawab di dalam kenyataan media LP ialah “Mengapa LP tidak menggunakan set soalan baru yang setara kualitinya kepada kumpulan sesi dua? Bukankah sudah menjadi amalan standard yang diterima umum termasuklah di peringkat antarabangsa, bagi mana-mana peperiksaan utama (lebih lebih lagi peperiksaan peringkat kebangsaan seperti SPM), apabila berlaku peperiksaan gantian atau penjadualan semula tarikh peperiksaan, maka set soalan baharu yang setara kualitinys akan digunakan?

(ii) Alasan set soalan adalah ‘soalan tertutup’ tidak boleh digunakan untuk menjustifikasikan soalan yang telah ditadbirkan dalam sesi satu digunakan semula untuk sesi dua. Soalan yang tertutup tidak bermaksud maklumat/soalan itu tidak akan terdedah kepada pengetahuan umum. Malah dalam kes ini, maklumat tersebut tersebar secara meluas di media sosial. Sebenarnya, keengganan pihak LP menggunakan set soalan baharu sebagaimana amalan biasa telah menjadi punca utama kepada isu ini berlaku.

(iii) LP sendiri mengakui dan tidak menolak dakwaan umum bahawa telah berlaku penyebaran maklumat peperiksaan tersebut sekurang kurangnya dalam bentuk ‘ringkasan wacana’. Ini membawa maksud calon SPM sesi kedua berada di dalam keadaan mempunyai ‘advantage’ atau kelebihan berbanding calon kumpulan sesi pertama yang langsung tidak mempunyai apa-apa maklumat walaupun dalam bentuk ‘ringkasan wacana’. Ini menyebabkan wujud ketidakadilan kepada calon SPM sesi satu. Situasi ini sesuatu yang tidak boleh diterima jika kita menjunjung tinggi amalan integriti peperiksaan awam dan keadilan untuk semua murid dalam pendidikan.

(iv) SPM adalah peperiksaan yang besar, penting dan melibatkan jumlah murid yang ramai. Sifat persijilan SPM juga penting untuk masa depan murid. Perbezaan markah walaupun kecil boleh membawa implikasi yang besar pada masa depan calon. Ketidakadilan akibat kelemahan sistem peperiksaan tidak wajar berlaku dan ia telah menimbulkan keraguan masyarakat kepada tahap kebolehpercayaan (realiability) dan kualiti kesahan (validity) sijil SPM yang dikendalikan oleh LP.

(v) Peristiwa ini sangat dikesali dan telahpun berlaku. Ini sejarah hitam kepada sistem peperiksaan awam negara. Tidak ada apa yang boleh dilakukan untuk memperbaikinya. Kita terpaksa menerima akibatnya walaupun kecewa dengan keadaan ini.

(vi) Kita cuma mengharapkan dan berdoa semoga pada masa depan KPM dan LP dapat melakukan penambahbaikan kepada sistem pentadbiran peperiksaan yang ada dan berusaha menyegarkan kembali kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan negara khususnya kualiti sistem peperiksaan awam negara.

Sumber – FB Anuar Ahmad