Ringgit lemah: Rakyat Malaysia bakal berdepan kenaikan harga ubat, makanan

Ringgit lemah: Rakyat Malaysia bakal berdepan kenaikan harga ubat, makanan

 

Seorang ibu beranak dua di Kuala Lumpur terkesan akibat kenaikan harga barang ketika dia bergelut membeli keperluan untuk keluarganya termasuk ibu mertua berusia 82 tahun yang memerlukan lampin dewasa, produk kesihatan dan makanan tambahan.

Sandra Cheng, 38, membelanjakan kira-kira RM400 (AS$81) sebulan untuk membeli barangan keperluan itu namun jumlah tersebut mungkin meningkat lagi sekali gus membebankan keadaan kewangannya susulan kenaikan harga produk farmaseutikal melebihi 10 peratus yang dijangka bermula pada Mac ini berikutan kejatuhan nilai ringgit.

“Bagaimana saya mahu hidup dengan harga barang dapur, dan kini makanan tambahan juga, yang semakin mahal?” soalnya.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain, dia berasa bimbang kerana negara itu banyak bergantung kepada barangan import termasuk makanan dan sebuah persatuan pengguna memberi amaran bahawa kemarahan orang ramai kian meningkat ekoran ketiadaan ketelusan berhubung langkah-langkah yang telah diambil untuk mengukuhkan tahap keterjaminan makanan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Jumaat memberi jaminan bahawa nilai ringgit yang semakin melemah sedang diurus dengan berkesan walaupun ia menghampiri paras terendah pernah direkodkan semasa krisis kewangan Asia kira-kira 26 tahun lepas.

Setakat tengah hari Jumaat, data Bank Negara Malaysia menunjukkkan mata wang ringgit didagangkan pada kadar 4.77 berbanding 1 dolar Amerika Syarikat, begitu hampir dengan paras 4.885 yang direkodkan semasa krisis kewangan Asia pada 1998.

Secara amnya, mata wang Malaysia itu susut nilai kira-kira empat peratus sepanjang tahun. Ringgit menjadi mata wang dengan prestasi terburuk di Asia selepas Jepun sejak penghujung 2023, demikian menurut laporan media.

Akur dengan keresahan rakyat, Anwar berkata kelulusan pelaburan langsung tertinggi di Malaysia tahun lalu berjumlah RM329.5 bilion (AS$69 bilion) adalah cerminan imej negara yang kukuh kepada pelabur asing sekali gus memberi isyarat kejayaan perancangan kewangan dan menarik syarikat global serta institusi kewangan.

Jumlah pelaburan yang diluluskan itu adalah yang tertinggi dalam sejarah Malaysia.

Kenaikan harga pada Mac

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia Amrahi Buang pula berkata majoriti ubat yang diperoleh dari Amerika Syarikat mengakibatkan industri itu tertakluk kepada tukaran dolar dan kejatuhan nilai ringgit akan memburukkan situasi sedia ada.

“Beberapa syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat telah membayangkan bahawa harga akan meningkat daripada lima kepada sepuluh peratus. Dengan nilai ringgit yang semakin melemah, kita mungkin mendapati harga jualan di farmasi naik lebih tinggi bermula Mac depan,” katanya kepada BenarNews.

Beliau juga berkata harga ubat dan kelengkapan lain mungkin naik lebih tinggi di Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman ekoran kos pengangkutan.

Justeru, Amrahi menggesa pemegang taruh agar tidak mengambil kesempatan mengaut untung yang berlebihan bagi memastikan harga produk farmaseutikal masih boleh diterima pengguna.

Seorang ahli farmasi di Kuala Lumpur mengesahkan perkara itu dan berkata harga ubat-ubatan yang dihasilkan dalam negara akan turut meningkat.

“Dijangka terdapat kenaikan ketara sekitar 10 ke 20 peratus menjelang pertengahan atau penghujung Mac memandangkan bahan-bahan mentah perlu diimport,” katanya.

Rungutan orang ramai

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam Jacob George berkata rungutan orang ramai berhubung isu kenaikan harga barang di bawah pentadbiran Anwar memerlukan satu tindakan dari pihak kerajaan.

“Orang ramai terpaksa berbelanja lebih tetapi tiada ketelusan daripada kerajaan berhubung langkah-langkah yang sedang diambil bagi menangani masalah itu,” katanya yang turut mempersoal sama ada kerajaan mempunyai keazaman politik untuk menyelesaikan isu itu.

Bagi Raja Faisal Mat, bapa kepada empat anak, harga barang telah meningkat sejak awal 2023 dan dengan nilai ringgit yang semakin melemah, ia akan naik lebih tinggi. Dia turut terkesan dengan kenaikan harga susu formula untuk anaknya yang berusia sembilan bulan.

“Jika dahulu saya belanja RM120 (AS$25) untuk susu formula, sekarang sudah naik kepada RM145 (AS$30). Dua hari lepas, saya membeli keju kanak-kanak, dahulu harganya antara RM15 ke RM24 [kira-kira AS$3] bagi 400 gram, sekarang ia berharga RM22.50 (hampir AS$5).

“Harga tuna dalam tin dan keju parmesan juga naik dengan ketara sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Pada 2021, Malaysia merekodkan nilai import makanan sebanyak RM63.6 bilion (AS$13.3 bilion) dan jumlah itu meningkat kepada RM75.5 bilion (AS$15.8 bilion) bagi tahun berikutnya.

Pakar ekonomi Barjoyai Bardai pula berkata harga makanan akan turut meningkat kerana Malaysia masih mengimport produk itu.

“Makanan tempatan yang menggunakan bahan mentah import juga akan menjadi lebih mahal kerana para peniaga biasanya mengambil kesempatan untuk menaikkan harga apabila melihat peniaga lain menaikkan harga barangan mereka. Justeru itu, harga barang secara keseluruhannya akan naik, bukan sahaja barangan import. Ini akan menyebabkan inflasi,” katanya.

Pemborong Khor Tee Sing dari Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur menyuarakan kegusaran terhadap kenaikan harga makanan kering dan produk dalam tin dari Thailand akibat pertukaran mata wang yang turun naik.

“Sekarang tidak boleh buat apa sangat. Kalau harga naik, kita juga kena naikkan harga (runcit),” katanya.

Khor berkata kenaikan itu membabitkan pelbagai jenis kicap, pes dan makanan ringan yang diimport dari Thailand selain produk tempatan terutama rempah ratus sekali gus menunjukkan kesan meluas terhadap pasaran.

Baru-baru ini, Gabenor Bank Negara Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan bahawa ekonomi Malaysia terdedah kepada faktor luaran seperti ketidaktentuan berkaitan ekonomi China, kebimbangan geopolitik yang menjejaskan laluan utama perdagangan dunia seperti Terusan Suez dan Laut Merah serta kelemahan yang memberi tekanan kepada kuasa beli.

Geoffrey Williams, pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata nilai ringgit merudum kerana pelabur antarabangsa kini meletakkan dana mereka di tempat lain bagi meraih pulangan yang lebih tinggi.

“Penurunan berterusan nilai ringgit baru-baru ini adalah kerana pelabur hilang minat terhadap Malaysia apabila mereka mempunyai pilihan untuk ke negara lain.

“Banyak tempat lebih baik seperti Indonesia dan Vietnam yang menawarkan pasaran lebih besar dengan lebih peluang pelaburan. Keputusan ini juga dibuat oleh pelabur Malaysia,” katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata terdapat ketidaktentuan bahawa mata wang ringgit akan jatuh ke paras RM5 berbanding satu dolar kerana ia boleh naik atau turun susulan pelbagai faktor termasuk prestasi ekonomi Malaysia dan peluang pelaburan di negara lain.

“Walaupun ia boleh turun, masih ada potensi untuk pulih,” katanya.

Muhammed Abdul Khalid, felo penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia berkata walaupun ekonomi mencatatkan pertumbuhan di bawah unjuran kerajaan iaitu 3.7 peratus pada 2023, ia hanya berkembang pada kadar 3 peratus pada suku terakhir tahun lepas.

“Ringgit mungkin melemah tetapi ia tidak membantu menggalakkan eksport kita malah jumlah bersih eksport menurun daripada 35.6 peratus pada suku keempat berbanding 23 peratus pada suku ketiga,” katanya kepada BenarNews.

“Kita memerlukan polisi yang meyakinkan pelabur, pemimpin yang menghormati tatakelola, bekerja keras dan bercakap benar kepada rakyat untuk mengelakkan tahun yang sukar bagi negara,” katanya.