Sanusi cabar Zahid tangkap pemimpin amal politik wang
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar menggunakan kuasanya untuk menangkap semua ahli politik di negara ini yang mengamalkan politik wang.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Presiden UMNO itu tidak perlu untuk bercakap banyak dan perlu segera melaksanakannya jika benar politik wang menjadi faktor utama ‘tsunami politik’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Suruh dia (Ahmad Zahid) yang jadi Timbalan Perdana Menteri pergi tangkap semua yang main politik wang, jangan cakap banyak, pergi tangkap, cakap apa dah ada kuasa.
“Kita mana ada duit nak main politik wang, yang tersohor di serantau dunia main politik wang ini UMNO dan BN (Barisan Nasional),” katanya di sidang media pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis pelancaran Perbadanan Mampu Milik Darul Aman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darul Aman 3.0, dekat sini.
Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Kedah berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad Zahid melalui laporan media pada Isnin berkata, politik wang didakwa faktor utama ‘tsunami politik’ kejatuhan BN pada PRU15 apabila gabungan itu hanya memenangi 30 kerusi Parlimen.
Dakwa Zahid, ‘kuasa beli luar biasa’ parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Jelas Muhammad Sanusi lagi, pemimpin UMNO tersebut diminta agar tidak mengaitkan gejala politik wang dengan pihak lain.
“Tak payahlah palit nama dia kat orang. Itu yang malas jawab itu nanti adalah orang tegur saya pula,” katanya yang yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi juga secara sinis mengakui hanya makan tidur dan tidak berbuat apa-apa bagi mengulas dakwaan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa beliau tidak membawa sebarang pembaharuan mahupun perkara yang hebat sepanjang mentadbir negeri Kedah.
“Memang saya makan tidurlah. Betul-betul saya setuju dengan dia (Mahdzir). Itu saya jawab sinis. Beritahu dia betul-betul dia kata itu. Saya makan tidur saja,” ujar beliau.