Selepas ayam dan ikan, giliran daging babi pula naik harga

Selepas ayam dan ikan, giliran daging babi pula naik harga

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tsin mahu Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) segera menangani kenaikan harga daging babi dengan memberi pampasan akibat penakaian disebabkan oleh demam babi Afrika (ASF).

Dalam satu kenyataan yang dilaporkan Malaysiakini hari ini, katanya, dasar sedemikian akan menggalakkan peladang supaya melaporkan ASF, mengawal penularan penyakit itu dan akhirnya mengurangkan kerugian di kalangan penternak.

Sim ialah jurucakap PKR bagi bidang pertanian dan komoditi dan bekas timbalan menteri pertanian.

Dia berkata kerajaan negeri juga boleh membantu dengan menghidupkan semula projek penternakan babi moden (MPF) yang menurutnya lebih baik untuk jangka panjang kerana ia akan mengurangkan pencemaran, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan risiko penyakit.

“Adalah mahal untuk membina ladang MPF. Kerajaan persekutuan mesti membantu mereka mendapatkan kelulusan dan memberi pinjaman serta kredit untuk membina MPF,” kata Sim.

Menurutnya, harga seekor babi di ladang ialah RM1,090 hari ini, meningkat daripada RM680 pada 2021.

“Pengguna tanya kenapa (harga naik). Terdapat beberapa sebab. Harga makanan haiwan meningkat dengan ketara daripada RM700 satu tan kepada RM1,800 satu tan.

“Makanan adalah 60 peratus daripada kos pengeluaran,” katanya.

Dia menjelaskan bahawa penakaian akibat ASF adalah sebab kedua. Ramai penternak, katanya, telah mengurangkan jumlah ternakan kerana bimbang mengalami kerugian.

Sim berkata bahawa kekurangan semasa harus dijadikan sebagai peluang, memetik bagaimana langkah proaktif yang diambil oleh China pada 2018 apabila ASF mula melanda sehingga kini yang menyaksikan lebihan bekalan daging dalam tempoh tiga tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin dan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin menggesa Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee untuk membantu penternak babi mengekalkan pengeluaran.

Menurut mereka, sebarang pengurangan bekalan akan memberi kesan kepada keselamatan makanan negara.

“Kami juga ingin menggesa agar kerajaan persekutuan supaya memperakui peranan penting yang dimainkan oleh penternak babi dalam menjaga keselamatan makanan dengan memberikan sedikit bantuan kewangan kepada mereka. Ini antara lain, mungkin dalam bentuk jaminan, pinjaman, pengaturan perkongsian kos, subsidi upah, subsidi makanan dan geran keusahawanan.

“Kerajaan negeri pula boleh membantu dengan memberi pengurangan cukai taksiran atau mengketepikannya.

“Kerajaan negeri juga boleh membantu dengan mengurangkan kerenah birokrasi dan mempercepatkan pengeluaran lesen atau membantu memenuhi keperluan undang-undang lain untuk penubuhan ladang babi,” kata kedua-dua mereka.

Akhbar Sinar Harian hari ini turut melaporkan kenaikan harga ikan segar sekitar RM2 hingga RM10 sekilogram di Pasar Besar Siti Khadijah yang menimbulkan sedikit ‘keresahan’ dalam kalangan pengguna di negeri ini.

Rata-rata peniaga yang ditemui mendedahkan kenaikan harga bahan mentah itu disebabkan bekalan stok berkurangan selain sambutan Aidilfitri.