Selepas beberapa bulan dilancarkan, Tesla mula turunkan harga jualan Model 3, Y di Malaysia

Selepas beberapa bulan dilancarkan, Tesla mula turunkan harga jualan Model 3, Y di Malaysia

 

Tesla menurunkan harga dua model keretanya, Model 3 dan Model Y sebanyak RM8,000, seiring dengan usahanya meningkatkan peralihan global ke arah penggunaan tenaga mampan dan menggalakkan pemilikan kenderaan elektrik (EV).

Pengeluar kereta elektrik itu berkata penurunan harga itu menjadikan EV Tesla lebih berpatutan dan mampu dibeli oleh kalangan pengguna yang lebih meluas.

“Berkuat kuasa hari ini, Model 3 dan Model Y, masing-masing berharga RM181,000 dan RM191,000, dan pelanggan kini boleh memesan kedua-dua model itu di pusat pengalaman Tesla atau menerusi laman web rasmi Tesla.

“Kenderaan Tesla layak mendapat pengecualian duti import dan eksais penuh, serta pengecualian cukai jalan 100 peratus, dan pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk perbelanjaan berkaitan pengecasan EV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tesla harga untuk Model 3 (tidak termasuk yuran pendaftaran atas jalan) bermula daripada RM181,000 bagi Model 3 (pacuan roda belakang) dan RM210,000 untuk Model 3 Jarak Jauh (pacuan semua roda).

Bagi harga Model Y (tidak termasuk yuran pendaftaran atas jalan), ia bermula pada RM 191,000 untuk Model Y (pacuan roda belakang); RM 238,000 untuk Model Y Jarak Jauh (pacuan semua roda) dan RM 280,000 untuk Model Y Performance (pacuan semua roda).

Ia berkata melalui aplikasi Tesla, pengguna boleh mencari, menavigasi dan memantau status pengecas super dengan mudah, dengan proses pembayaran secara automatik bagi setiap penggunaan sebanyak RM1.25 setiap kilowatt jam.

Setakat hari ini, Tesla mempunyai tujuh stesen pengecas super (36 pengecas) dan 10 stesen pengecas destinasi (61 pengecas) di Malaysia.

“Dengan pengembangan berterusan untuk memudahkan perjalanan antara Malaysia dan Singapura, kini terdapat 11 stesen pengecasan super dan sembilan stesen pengecasan destinasi.

“Tesla komited untuk terus memajukan infrastruktur pengecasannya di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk Tesla di seluruh rantau,” katanya.