Semakin ramai diugut, pemimpin masyarakat gesa polis jangan ganggu kempen ‘kibar bendera putih’.

Semakin ramai diugut, pemimpin masyarakat gesa polis jangan ganggu kempen ‘kibar bendera putih’.

Penghuni sebuah rumah di sini menurunkan bendera putih yang sebelum ini dinaikkan di kediaman mereka kerana bimbang dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang Phoong Jin Zhe.

ADUN DAP itu berkata, terdapat lapan keluarga menghuni kediaman di Taman Che Mei di Lido itu, yang terletak di kawasannya.

Phoong berkata, walaupun pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang amaran kepada orang ramai supaya tidak menaikkan bendera putih di Sabah, penghuni rumah berkenaan bimbang selepas mendengar kisah yang berlaku di Pahang semalam apabila ada orang dikatakan diberi amaran supaya tidak berbuat demikian.

“Sebaliknya, mereka menaikkan papan tanda dengan kata-kata ‘kami perlukan bantuan’ yang diletakkan pada pintu pagar mereka,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, penghuni rumah itu sekadar mahu berhati-hati kerana tiada wang untuk membayar sebarang denda pada masa ini.

Semalam, polis di Pahang mengarahkan penduduk kampung yang menaikkan bendera putih supaya menurunkannya kerana diletakkan di ‘kemudahan awam’.

Ketua Polis Pahang Mohamed Yoosuf menafikan anggotanya marah atau mengugut akan mengeluarkan saman terhadap penduduk di Kampung Bukit Setongkol itu kerana menaikkan bendera bagi mendapat bantuan.

Sebaliknya, beliau berkata mereka dinasihatkan tidak meletakkan bendera itu di kemudahan awam seperti tiang elektrik yang disifatkan tidak sesuai.

Sementara itu, Phoong berkata seorang penghuni rumah berkenaan mamaklumkannya golongan dewasa dalam kediaman itu kehabisan wang kerana tidak dapat keluar bekerja disebabkan perintah kawalan pergerakan.

Katanya, semua penghuni rumah itu bekerja separuh masa di kedai runcit dan restoran.

“Seorang daripadanya berkata dia menyewa di rumah itu sejak 10 tahun lalu, dan keluarga lain di kediaman berkenaan juga berdepan kesukaran akibat keadaan sekarang.

“Saya bagaimanapun memuji pemilik rumah itu, ‘Encik Lai’ yang cukup baik hati tidak mendesak bayaran sewa daripada mereka buat masa ini. Tindakan itu memang wajar dipuji,” katanya.

Phoong melawat kediaman itu hari ini dan menyerahkan bantuan makanan kepada penghuninya.

Sumber – FMT