Sikap biadab mereka ini melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu – Sultan Selangor luah murka sikap Sanusi secara terbuka

Sikap biadab mereka ini melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu – Sultan Selangor luah murka sikap Sanusi secara terbuka

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur tindakan segelintir pihak dan individu tertentu termasuk pemimpin politik yang menggunakan kata-kata kesat dan biadab ketika berkempen dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah mereka.

Baginda bertitah, keadaan yang berlaku itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan lain-lain bangsa.

“Sikap biadab mereka ini melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.

“Ingatlah jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.

“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda, memetik Sinar Harian.

Baginda bertitah selepas menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan dan Angkat Sumpah 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor bagi memegang jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah Klang pada Isnin.

Baginda turut menyeru kepada semua pihak agar menghentikan budaya caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.