Singkir Ketua Hakim Negara antara empat tuntutan ‘Panglima UMNO’ jika Ismail mahu kekal jadi PM

Singkir Ketua Hakim Negara antara empat tuntutan ‘Panglima UMNO’ jika Ismail mahu kekal jadi PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa diberi kata dua oleh kumpulan ‘panglima perang UMNO’ sama ada memenuhi empat tuntutan yang dikemukakan mereka atau disingkirkan daripada menyandang portfolio Naib Presiden parti tersebut.

Memetik laporan The Vibes, empat tuntutan itu ialah menyingkirkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memecat Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, mendapatkan pengampunan Diraja untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengadakan pilihan raya segera.

IKLAN

Menurut sumber, kesemua tuntutan itu dilaporkan dibuat pada mesyuarat biro politik yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Perdana Menteri diganggu oleh rakan-rakan pemimpin UMNO untuk menyelamatkan Najib daripada hukuman penjara yang panjang selama 12 tahun.

“Walaupun ada tuntutan yang kuat, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak boleh campur tangan dalam proses kehakiman,” katanya.

Jelas sumber itu, kemarahan dan sikap terdesak segelintir pemimpin UMNO menyaksikan mereka sanggup mengugut Ismail Sabri untuk menuruti semua kehendak itu, atau berdepan kemungkinan dipecat pada taklimat khas parti oleh Zahid, pada Sabtu.

“Perdana Menteri berpendapat, sebarang kenyataan tidak akan membantu meredakan suasana. Beliau juga percaya majoriti ahli UMNO tidak mahu sistem kehakiman dan proses perundangan dicemari campur tangan parti.

“Beliau mengekalkan pendirian bahawa doktrin pemisahan kuasa perlu dihormati. Tapi inilah situasi sekarang. Mereka sanggup memecat Perdana Menteri UMNO,” katanya.

Sejak Najib dipenjara Selasa lalu, Zahid tampil memberikan sokongan, sebahagian besarnya dengan menegaskan sumbangan bekas perdana menteri itu kepada negara dan menafikan bahawa keadaan itu akan melemahkan keupayaan UMNO.

Pada Rabu, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia pada Rabu menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon campur tangan Diraja terhadap Najib, dengan sokongan hampir 300 pengikut.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.