Suntikan vaksin : Denda jika gagal hadir
Mereka yang gagal hadir janji temu untuk mengambil suntikan vaksinasi Covid-19 tanpa alasan munasabah boleh dikenakan tindakan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Noor Hisham berkata ini bagi mengelak berlakunya pembaziran memandangkan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang dicairkan, tidak boleh disimpan untuk penggunaan pada hari lain ekoran jangka hayatnya tidak lebih enam jam.
“Kalau hari pembedahan pun, 15 peratus kes tidak hadir ketika pembedahan. Ketidakhadiran, termasuklah untuk pengambilan vaksin yang dijadualkan itu adalah ‘waste of resources and manpower’ (pembaziran sumber dan tenaga kerja) sebab kita dah siapkan semua.
“Tindakan boleh diambil kalau tidak hadir. Seperti mana di negara lain kalau mereka ‘cut queue’ (memotong giliran) untuk dapatkan vaksin (juga) boleh didenda. Buat masa ini kita belum fikirkan apa jenis tindakan. Kita belum tahu lagi tetapi sesuatu boleh dilakukan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika sesi Libat Urus Bersama Media secara maya hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator.
Katanya mereka yang tidak dapat hadir pada janji temu, terutamanya bagi dos kedua, seharusnya memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari awal agar penjadualan tarikh baharu dapat dilakukan.
“Kalau batalkan di saat-saat akhir, kita kena cari jalan supaya vaksin itu tidak terbuang sebegitu, mungkin perlu ada ‘waiting list’ jadi kita boleh beri pada orang lain. Daripada dibuang, kita mungkin boleh beri pada petugas ‘frontliner’ yang belum lagi berkesempatan mengambil vaksin, termasuklah petugas perubatan kita,” katanya sambil mengingatkan rakyat Malaysia agar menghargai dan tidak membazir vaksin.
Dr Noor Hisham berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk mengkomersilkan vaksin Covid-19 di negara ini dengan membenarkan syarikat swasta menjual vaksin berkenaan.
Katanya tidak ada mana-mana syarikat yang diberi lesen untuk menjualnya, malah Kementerian Kesihatan (KKM) sendiri membekalkan vaksin itu kepada semua hospital termasuk hospital swasta, yang akan diberikan kepada rakyat secara percuma.
“Syarikat vaksin menjual secara ‘direct’ kepada kerajaan dan bukannya syarikat… kita tidak akan benarkan pengkomersilannya, kerana kalau tidak mereka yang kaya akan mendapat vaksin dahulu dan rakyat yang lain perlu menunggu,” katanya.
“Interpol juga memaklumkan kepada kami yang vaksin palsu sudah wujud… maka sebab itu selepas seseorang diberi vaksin nanti, mereka perlu mengimbas ‘barcode’ dan mereka akan tahu vaksin mana yang mereka ambil sekali dengan nombor sirinya,” katanya.
Boleh longgar sekatan lepas 80 peratus divaksin
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) mungkin dapat dilonggarkan termasuklah sekatan rentas negeri dan juga sempadan negara sekiranya sekurang-kurangnya 70 hingga 80 peratus rakyat di negara ini mengambil suntikan vaksin.
Katanya jika pematuhan rakyat terhadap SOP dan pengambilan vaksin berjalan seiring, imuniti kelompok dijangka berjaya diwujudkan di negara ini dalam enam hingga sembilan bulan lagi.
“Ketika ini kita belum boleh benarkan kelonggaran termasuklah imuniti pasport untuk keluar negara. Kalau negara kita dan juga negara lain sudah capai imuniti kelompok, kita mungkin akan pertimbangkan tetapi kita perlu bukti,” katanya.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata aplikasi MySejahtera adalah satu-satunya aplikasi rasmi kerajaan yang digunakan untuk pendaftaran vaksin.
Melalui aplikasi itu juga, dia berkata orang ramai boleh memaklumkan sekiranya mempunyai gejala atau kesan sampingan selepas menerima suntikan.
Dr Noor Hisham berkata dia juga melihat kepada keperluan mewujudkan ‘dashboard’ di aplikasi itu untuk memaparkan jumlah terkini mereka yang mengambil suntikan.
“Sekarang ni data-data kita diselenggara dengan baik dan semua menggunakan MySejahtera… aplikasi ini secara rasmi mengutip data dan kita boleh menggunakan data ini dalam dashboard untuk dimaklumkan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr A Maheshwara Rao yang turut menyertai libat urus berkenaan berkata setakat ini lebih sejuta orang telah mendaftar di MySejahtera untuk mendapatkan vaksin, dan kementerian mensasarkan hampir 300,000 pendaftaran sehari.
Menurutnya fungsi ‘tambah tanggungan’ di aplikasi itu dijangka dikeluarkan di MySejahtera pada minggu kedua Mac yang membolehkan pengguna mendaftarkan ahli keluarga terutama ibu bapa mereka yang tua. – MK