Terkini!!! Pemuda Umno bantah TH diletakkan di bawah BNM, desak menteri batalkan keputusan kabinet

Terkini!!! Pemuda Umno bantah TH diletakkan di bawah BNM, desak menteri batalkan keputusan kabinet

Lembaga Tabung Haji (TH) bukanlah sebuah bank mahupun perkhidmatan insurans atau takaful untuk membolehkannya diletakkan di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM), kata Pemuda Umno.

Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki berkata, TH adalah institusi seperti syarikat pengurusan dana yang lebih sesuai dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti, bukannya BNM.

Oleh itu katanya, ia tidak wajar dilakukan kerana aktiviti utama TH adalah menguruskan hal ehwal operasi haji selain menguruskan dana pendeposit untuk dilaburkan.

Beliau berkata, TH bukannya bank yang menjalankan aktiviti menawarkan pinjaman mahupun insurans atau takaful kepada orang ramai, selain tidak terdedah kepada risiko kredit, iaitu risiko yang terkait dengan kebarangkalian peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman yang menjadi fokus utama BNM.

“TH bukannya bank yang jaminan ke atas wang pendeposit hanya dijamin sebanyak RM250,000 oleh Perbadanan Insuran Deposit Malaysia (PIDM), sebaliknya di bawah Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang pendeposit dijamin oleh kerajaan tanpa had,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, TH bebas menawarkan hibah berasaskan keuntungan selepas menolak zakat selagi mana tidak melanggar akta dan dipersetujui oleh Lembaga Pengarah dan diluluskan Ketua Audit Negara.

Baru-baru ini Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa TH akan dikawal selia oleh BNM dan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyenaraiannya sebagai institusi kewangan Islam di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai lalu bersetuju untuk menambah baik pengurusan dan operasi TH secara menyeluruh.

Selain itu Asyraf berkata, Pemuda Umno turut memberi beberapa cadangan sekiranya aspek tadbir urus TH menjadi asas pertimbangan untuk dikawal selia BNM.

Katanya, TH boleh dipecahkan kepada dua sektor utama, iaitu pengurusan dana serta operasi pengurusan haji bagi memastikan mereka yang mengurus dan membelanjakan dana adalah daripada dua entiti berbeza.

“Ini dapat meningkatkan lagi tahap keberkesanan dan kecekapan tadbir urus korporat TH,” katanya.

Sumber – FMT