Tragedi Kanjuruhan : Tindakan keterlaluan polis punca korban, bukan pergaduhan sesama penyokong

Tragedi Kanjuruhan : Tindakan keterlaluan polis punca korban, bukan pergaduhan sesama penyokong

Luahan hati seorang lelaki yang kehilangan tiga anak saudara sekali gus dalam tragedi rempuhan ketika perlawanan bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Malang mengundang simpati masyarakat.

Portal Suara.com melaporkan, lelaki itu memuat naik gambar jenazah yang meninggal dunia rumah keluarga mangsa menerusi akaun Twitter @bbbbaall.

Lelaki itu turut menyifatkan tindakan pihak berkuasa yang melepaskan gas pemedih mata saling tidak tumpah seperti tindakan seorang pembunuh.

“Siapapun yang menembak gas pemedih mata semalam, kalian adalah pembunuh,” katanya, seperti mana dilaporkan Suara.com.

Mangsa terselamat berkata penonton bertambah panik apabila orang ramai mula berasak sewaktu gas pemedih mata ‘menghujani’ mereka.

“Anggota polis melepaskan gas pemedih mata dan orang ramai secara langsung bergegas keluar, menolak satu sama lain sedangkan tiada apa-apa yang berlaku, tiada rusuhan.

“Saya tidak tahu apa isunya, tiba-tiba mereka menembak gas pemedih mata. Itu mengejutkan saya, apakah mereka langsung tak memikirkan mengenai kanak-kanak, wanita,” soal seorang penonton berusia 43 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Doni.

Seorang pengarah hospital memberitahu stesen televisyen tempatan bahawa salah seorang daripada mangsa rempuhan hanya berusia lima tahun.

Imej diambil dari dalam kawasan stadium semasa rempuhan berlaku menunjukkan pihak polis melepaskan sejumlah besar gas pemedih mata dan kelihatan orang ramai memanjat pagar.

Orang awam mengangkat penonton yang tercedera akibat kekacauan dan ada mangsa terselamat sempat membawa keluar mayat dari stadium.

“Amat menakutkan, sangat mengejutkan,” kata mangsa, Sam Gilang, yang kehilangan tiga rakannya dalam rusuhan berkenaan, kepada AFP.

“Orang ramai mengasak antara satu sama lain dan… mata saya seperti rasa terbakar kerana gas pemedih mata. Saya bernasib baik sempat memanjat pagar dan terselamat,” katanya.