“Walaupun aku umpama janda anak tiga, dia ikhlas melamar lepas terlanjur, tapi kami tak boleh kahwin sebab suami aku hilangkan diri, aku masih isteri orang”

“Walaupun aku umpama janda anak tiga, dia ikhlas melamar lepas terlanjur, tapi kami tak boleh kahwin sebab suami aku hilangkan diri, aku masih isteri orang”

 

Seorang wanita berusia 26 tahun terpaksa hidup bagai ibu tunggal walau masih memiliki suami sambil bergantung kepada bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mempunyai tiga orang anak, wanita yang tidak bekerja itu rupanya telah ditinggalkan oleh suaminya tanpa khabar berita di saat kandungannya masih berusia lapan bulan.

Setelah sekian lama hidup menderita, berikut perkongsian wanita yang berada dalam dilema apabila pintu hatinya mula diketuk lelaki lain ketika dirinya belum sah bercerai.

“Sekarang ini segala perbelanjaan, saya bergantung kepada duit bantuan RM200 daripada JKM termasuklah persekolahan anak, makanan, pakaian dan lampin. Dengar cerita, suami saya pergi ke negara seberang. Tetapi saya tak tahu dia ke mana. Menghilang tanpa sebab dan jejak. Keluarga dan kawannya juga tidak tahu dia dimana.

“Saya sudah memfailkan permohonan tuntutan nafkah anak daripada tahun 2017 di mahkamah. Tetapi setiap kali bicara, dia langsung tak hadir. Sudah masuk 10 kali dia enggan bekerjasama. Malah, saya juga kalah di dalam kes tuntutan hak nafkah buat anak-anak disebabkan dia tidak dapat dikesan.

“Waran tangkap sudah dikeluarkan, tetapi suami masih tak dapat dikesan. Saya tak dapat buat apa-apa lagi selain berdoa semoga dia terbuka pintu hati untuk jalankan bertanggungjawab terhadap anak-anak kami. Masalahnya sekarang, saya sedang berkawan rapat dengan seorang lelaki bujang dan kami pernah terlanjur.

“Beza umur kami hanya setahun sahaja. Dia sudah datang berjumpa Abah dan Ma untuk mintak izin berkenalan dan ambil saya jadi isterinya. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah SWT. Tetapi malangnya, keluarga lelaki itu pula tak suka disebabkan saya ini masih lagi isteri orang sudah mempunyai anak.

“Mak dia sudah ada calon lain. Mereka sudah rapat, sebabnya hampir setahun juga berkenalan. Tetapi, bakal suami saya langsung tidak sukakannya. Sebab itulah dia menyampaikan hasrat untuk menikahi saya. Namun mak, kakak dan adik bongsunya sangat menentang sampai tidak izinkan dia berkahwin dengan saya.

“Pilihan mereka non-muslim, anak dara dan keturunan orang kaya. Sedangkan saya tiada harta benda. Yang betul-betul saya ada dalam dunia ini hanyalah anak-anak. Tetapi bakal suami saya itu nekad nak menikah juga dengan saya. Tetapi dihalang kakaknya. Sepatutnya, bakal suami saya kursus kahwin selama dua hari.

“Tetapi kakaknya menyalah guna kuasa sebagai penolong pegawai penguatkuasa di pejabat agama lalu membatalkan nama bakal suami dalam senarai kursus kahwin. Kakaknya sudah berikan amaran. Segala permohonan nikah dia tidak akan luluskan. Termasuklah permohonan nikah luar negeri, kami bukan satu negeri.

“Abang kepada bakal suami pun semuanya menikah tanpa persetujuan ibu mereka. Alhamdulillah, sekarang semua baik-baik sahaja. Tetapi yang menjadi masalah untuk bakal suami saya adalah mak dia mengugutnya. Kalau dia mahu juga menikahi saya, sampai bila-bila mak bakal suami akan terasa hati dengan dia.

“Sudahlah bakal suami saya itu anak bongsu lelaki. Nak-nak dia anak lelaki. Syurga bakal suami saya ada pada ibunya. Apa yang harus saya lakukan? Sedangkan bakal suami minta saya sokong dia. Walaupun kelak, dia sendiri yang bakal melukakan hati ibunya. Saya takut rezeki bakal suami tidak berkat pula nanti.

“Dalam masa yang sama, saya juga takut jika kehilangan bakal suami. Sebab saya betul-betul sayangkan dia kerana Allah Taala. Tolong doakan saya semua semoga tabah dan kuat melalui ujian serta dugaan dari Allah SWT untuk kali ini. Saya sudah lama bahkan jemu menghadap derita dalam kehidupan.

“Adakah satu kesalahan kalau saya nak merasakan kebahagiaan yang sebenarnya. Memiliki suami di sisi saya dan anak-anak yang menumpang kasih sayang daripada seorang ayah tiri. Saya terpaksa menangis senyap-senyap. Sebab saya sudah tiada tempat nak meluah. Tak mungkin saya nak meluah dekat keluarga.

“Terima kasih luangkan masa membaca coretan hidup saya yang penuh penderitaan. Maafkan saya andai ada salah ejaan atau bahasa kurang wajar yang tidak sengaja diluahkan. Assalamualaikum dari insan yang hina,” luah wanita terbabit menerusi satu hantaran dalam sebuah forum atas talian.