Walaupun harga beras mahal, peniaga ini akan tetap pertahan harga nasi lemak RM1

Walaupun harga beras mahal, peniaga ini akan tetap pertahan harga nasi lemak RM1

 

“Walaupun mahal saya terpaksa membeli beras import untuk menyediakan nasi lemak yang dijual dengan hanya RM1 kerana tiada beras putih tempatan.

“Saya beli jenama beras import yang paling murah di pasaran untuk meneruskan jualan harian,” kata Zulfikli Nordin, 42.

Katanya, dia tidak mahu menaikkan harga dan bagi menampung kos yang semakin meningkat itu, dia terpaksa mengurangkan sedikit sukatan nasi.

Menurutnya, dia akan mempertahankan harga RM1 kerana tujuan asal berniaga nasi lemak itu adalah untuk memberi peluang orang ramai membeli terutamanya yang mempunyai ramai anak.

Zulfikli berniaga nasi lemak di tepi jalan berhampiran dengan Balai Bomba Jerantut dan kini nasi lemaknya dikenali sebagai Nasi Lemak Bomba.

Katanya, semuanya bermula sejak September 2021 selepas terkesan dengan Covid-19 yang menjadi titik perubahan dalam hidupnya.

“Kilang tempat saya bekerja terpaksa mengecilkan saiz pekerja akibat Covid-19 dan ini menyebabkan saya kehilangan pekerjaan dan saya agak kecewa kerana tidak dapat kerja baru untuk menanggung kehidupan.

“Saya kembali tinggal bersama ibu di Perumahan Kos Rendah Bandar Baru di Jerantut dan ketika itulah Allah kurniakan saya ilham untuk berniaga,” katanya.

Menurutnya, selepas berbincang dengan isteri dan ibu, mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi lemak dan kuih.

“Pada mulanya, isteri saya tidak yakin kerana kos bahan mentah untuk membuat nasi lemak dan kuihnya semakin mahal,” katanya.

Zulkifli berkata, menyedari ramai yang turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19, mereka mengambil keputusan untuk menjual nasi lemak berbalut daun pisang pada harga RM1.

Nasi lemak RM1 dijualnya disertakan dengan sambal bilis, telur dan timun, manakala isterinya membuat dan menjual karipap kentang serta gulung sardin.

Dalam sehari, Zulkifli menyediakan kira-kira 200 bungkus nasi lemak RM1 dan 100 bungkus nasi lemak RM2 dan sedikit karipap kentang serta gulung sardin.

Dia memulakan perniagaannya seawal 7 pagi dan dalam masa tidak sampai sejam, semuanya habis dijual.

“Tidak pernah saya sedar nasi lemak berharga RM1 itu akan mengubah hidup saya selepas tiga bulan tidak mempunyai pendapatan dan berhasrat untuk terus mempertahankan harga ini selagi boleh,” katanya.