Wanita ini tampil kongsi rahsia resepi nak bagi mi goreng basah kekal lembab, sedap dimakan sepanjang masa

Wanita ini tampil kongsi rahsia resepi nak bagi mi goreng basah kekal lembab, sedap dimakan sepanjang masa

 

Peminat hidangan Mi Goreng Basah pasti merasa ‘potong selera’ setelah melihat makanan kegemaran mereka sudah kembang dan kering.

Menyedari keresahan orang ramai, seorang pengguna Facebook tampil berkongsi resipi rahsia bagi memastikan hidangan mi goreng ini kekal enak sepanjang masa.

“Dulu asyik tak jadi. Basah kejap sahaja, tetapi selepas satu jam macam kena serap. Akhirnya daripada mi basah, bertukar jadi menu mi goreng kembang tanpa kuah.

“Alhamdulillah sekarang handal. Kalau masak malam pun, bangun pagi esok masih lagi likat dan berkuah mi dia. Ini resipinya kalau nak cuba,” kata Riana Samad.

Bahan-bahan:

  • Satu bungkus mi kuning (rendam dan toskan air)
  • Tiga biji bawang putih dan empat biji bawang merah (kisar)
  • Setengah sudu cili giling
  • Secubit asam jawa
  • Sotong, bebola ikan dan daging (hiris)
  • Sebiji bawang besar (hiris)
  • Sebiji tomato (potong 4)
  • Lima sudu sos cili
  • Lima sudu sos tomato
  • Lima sudu sos tiram
  • Kicap manis
  • Sayur

Cara-cara:

1. Tumis bawang kisar sehingga kekuningan. Kemudian, masukkan cili giling dan asam jawa. Sambung tumis sampai bahan tidak lagi mentah dan naik bau wangi.

2. Masukkan semua sos dan tumis sampai pecah minyak. Seterusnya, masukkan sesuku cawan air. Ingat, sesuku cawan air sahaja ya. Jangan tambah lagi.

3. Selepas masukkan air baru masukkan udang, daging dan bebola. Kemudian tumiskan lagi sehingga semua bahan cukup masak.

4. Masukkan pula buah tomato, sayur, bawang besar dan juga cili potong.

5. Air tidak boleh banyak kerana mi boleh kembang dan kuahnya menjadi kering. Petuanya terletak pada sos. Ini yang memekatkan mi, bukan air. Jadi jangan kedekut sos.

6. Masukkan mi dan kacau rata. Sambil itu, boleh tambahkan kicap dan serbuk perasa mengikut selera anda.

7. Kemudian boleh campur sayur taugeh segenggam, kalau ada. Apabila mi dan bahan-bahan sudah sebati, api sudah boleh dipadamkan.

8. Boleh tambah hirisan daun sup, bawang goreng dan perahan limau nipis. Nak lagi sedap boleh potong timun batang. Kalau ada lada jeruk lagi terangkat!

“Garam dan gula kalau nak letak kena rasa betul-betul dahulu. Saya tak letak sebab mi itu sendiri sudah masin. Kicap, dan segala sos pun sudah cukup untuk perasakan mi.

“Lagi kalau anda gunakan cili boh kilang, memang dah sedia masin. Selamat mencuba semua.” Katanya menerusi satu hantaran tular yang dimuat naik di laman Facebook.