Zahid digesa untuk bawa UMNO keluar dari Kerajaan PN
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diberikan tujuh hari oleh kumpulan Datuk Seri Najib Razak agak memulakan tindakan terhadap Bersatu selepas beberapa kali Umno diperlekehkan oleh parti itu.
Jika beliau gagal membebaskan Umno dari Perikatan Nasional, kempen untuk mengenepikan beliau dari Presiden Umno akan digerakkan di kalangan ahli Umno.
Sehubungan itu, bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno yang kini orang kanan Najib, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pihaknya memberikan Zahid tujuh hari untuk melaksanakan perkara ini.
“Tujuh hari dari sekarang, MP-MP Barisan Nasional kena ambil keputusan. Jangan tunggu lama-lama.
“Hari itu strateginya, kita mahu menyokong Anwar Ibrahim. Tuanku tak mahu menerima Anwar kerana baginda berada di IJN. Kita tak boleh buat apa, Tuanku tak sihat, kita kena tunggu Tuanku.
“Tetapi ahli Parlimen BN ada jalan keluar. Dalam bulan Oktober ini, akan ada sidang parlimen. Inilah masa sesuai kita kena pastikan, jangan kita sokong Belanjawan yang akan dibentang oleh Muhyiddin Yassin.
“Inilah masa yang sesuai untuk kita umumkan supaya kita keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini kerana hari ini jelas kerajaan Muhyiddin membuli Umno,” kata Lokman melalui fb live beliau.
Menurut bekas Pengarah Kemunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya itu, tindakan tidak melantik Pengerusi Umno Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin sebagai ketua menteri padahal Umno mempunyai kerusi paling banyak di Sabah adalah satu penghinaan kepada Umno.
Pagi tadi Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah walaupun Bersatu hanya mendapat 11 kerusi berbanding dengan Umno yang mendapat 14 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah.
Sebelum penamaan calon, kata Lokman, Umno telah dibuli dengan diberikan sebahagian sahaja kerusi manakala sebahagian lagi diambil oleh Bersatu dan Perikatan Nasional.
Bagi beliau, BN tidak dapat menang lebih besar kerana keyakinan rakyat Sabah tidak ada kepada BN kerana tidak bertanding semua kerusi.
“Parti kecil membuli parti besar. Sampai bila kita hendak membiarkan kita dibuli oleh budak-budak ni. Cukuplah cukuplah.
“Itu sebabnya kalau Zahid berani membuat pendirian ini, kita wajar menyokongnya.
Bagi beliau, tidak akan ada ahli Umno yang sanggup membiarkan Umno terus diperbodohkan oleh Muyiddin Yassin.
“Saya tidak fikir ahli Umno mahu bernaung di bawah sebuah parti yang telornya dipegang oleh Muhyiddin,” kata Lokman lagi.
Sumber : Malaysiadateline